Imam al-Bukhārī menjelaskan banyak hadith yang menceritakan
tentang sifat kasih sayang yang dimiliki oleh Rasul dan juga memaparkan
sabda-sabda Rasul yang berhubungan dengan hal ini.
Di antaranya adalah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Ā’isyah yang
mengisahkan tentang datangnya seorang Arab kampung yang menghadap Nabi
s.a.w. dan merasa hairan melihat Nabi mencium anak kecil. Dengan nada
hairan dia berkata: “ Kamu mencium anak-anak? Kami tidak pernah mencium
mereka.” Dengan nada hairan dan ingkar, Nabi bertanya kepadanya:
“Apakah Allah telah mencabut sifat kasih sayang dari hatimu?” [1]
Sahabat Anas bin Mālik r.a. menceritakan bahawa dia pernah bersama
Rasulullah untuk mengunjungi rumah Abū Saif al-Qain [2] yang mengasuh
putera Rasul yang bernama Ibrāhīm. (Waktu itu Ibrāhīm sedang sakit
keras) dan ketika Rasul melihat puteranya itu, Beliau langsung
menggendong, mencium dan memeluknya. Kemudian Rasulullah membawanya
masuk rumah dan Ibrāhīm sudah mendekati ajalnya.
Melihat keadaan puteranya ini, kedua mata Rasul berkaca-kaca
(mengeluarkan air mata). ‘Abdl al-Rahmān bin Auf yang waktu itu juga
bersama kami, merasa hairan melihat Rasul menangis dan bertanya:
“Mengapa kamu menangis wahai Rasul (di saat kematian puteramu?” Rasul
menjawab: “Ini adalah tangisan kasih sayang wahai Ibn Auf,” Rasul
melanjutkan pembicaraannya: “Sungguh mata ini berlinang, hati ini sedih,
namun kami tidak mengucapkan kata-kata kecuali yang diredai oleh Allah.
Sungguh kami sangat sedih berpisah dengan kamu wahai Ibrāhīm.” [3]
Sahabat Abū Hurairah r.a. menceritakan bahawa suatu hari, Rasulullah
s.a.w. mencium al-Hasan bin ‘Alī. Di saat itu al-Aqrā’ bin Habis
al-Tamimī sedang duduk dan merasa hairan melihat apa yang dilakukan oleh
Rasulullah s.a.w. itu. Dia pun berkata: “Saya mempunyai sepuluh anak,
dan saya sama sekali tidak pernah mencium satupun anakku.” Mendengar
ucapan al-Aqrā’ ini, Rasul memandangnya sambil berkata:
“Sesiapa tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.” [4]
Dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Jarīr bin ‘Abdullāh r.a.,
Rasul juga menyampaikan sabda yang sama: “Sesiapa tidak mengasihi, dia
tidak akan dikasihi.” [5]
Kata al-Rahmah (kasih sayang) yang disebutkan dalam hadith-hadith di
atas berasal dari kata al-Ruhm atau al-Rahim yang ertinya adalah
kedekatan dan hal-hal yang dapat menyebabkan timbulnya kedekatan. Ketiga
kata itu merupakan mustāq dari kata al-Rahīm yang bererti kandungan
tempat tumbuh bayi. Sehingga dapat dikatakan bahawa erti kata al-Rahmah
adalah halus, lembut, kasih sayang dan lunak yang semua itu menggarah
pada satu erti iaitu “sangat dekat”.
Lawan daripada sifat al-Rahmah adalah sikap kasar, keras hati dan kaku. Selain itu kata al-Rahmah merupakan salah satu daripada sifat Allah s.w.t.. Rasul juga terkenal dengan sifat al-Rahmah ini.
Berkaitan dengan sifat kasih sayang Allah s.w.t., Al-Qur’an telah
menegaskan dalam beberapa ayatnya diantaranya: “Sesungguhnya rahmat
Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (al-A‘rāf, 7:
56).
“Tiada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat.” (al-Hijr, 15: 56)
“Kalau tiada karunia Allah dan rahmat-Nya atasmu, niscaya kamu tergolong orang yang rugi.” (al-Baqarah, 2: 54).
“Dan Tuhanmulah Yang Maha Pengampun.” (al-Kahfi, 18: 58).
Kata al-Rahīm sendiri merupakan salah satu daripada beberapa asma Allah yang mulia (al-Asmā’ al-Husna).
Kata ini sering kita ucapkan dalam sehari-hari, iaitu ketika kita membaca Basmalah.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah, 2: 37, yang ertinya:
“Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhan-nya, maka Allah
menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha
Penyayang”.
Dalam ayat lain, Allah juga menjelaskan: “Dan Allah tidak akan
menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang kepada manusia.” (al-Baqarah, 2: 143).
Selain itu, Allah s.w.t. juga berfirman dalam surah al-Mā’idah, 5:
98, yang ertinya: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah amat berat
siksa-Nya dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang.”
Adapun keterangan yang menegaskan bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai
sifat kasih sayang adalah firman Allah s.w.t. dalam surah al-Taubah, 9:
128, yang ertinya: “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul
dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat
menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi
penyayang terhadap orang-orang mukmin.”
Dan juga firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anbiyā’, 21: 107, yang
ertinya: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi)
rahmat bagi semesta alam.”
Meskipun Nabi adalah manusia utama yang selalu dijaga gerak dan
langkahnya oleh sang Pencipta, namun Allah tetap memerintahkan Nabi-Nya
itu untuk berendah hati dan menyebarkan kasih sayang. Allah s.w.t.
berfirman dalam surah al-Hijr, 15: 88, yang ertinya: “Dan berendah
dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.”
Berikut ini akan diuraikan beberapa kisah yang menunjukkan betapa besar kasih sayang Nabi s.a.w..
Suatu hari, di saat Nabi sedang berbincang-bincang dengan wanita
Quraisy, tiba-tiba ‘Umar r.a. datang. Melihat kedatangan ‘Umar ini, para
wanita tersebut langsung lari dan bersembunyi di balik tirai. Dan
sesampainya ‘Umar di hadapan Rasul, Rasul pun tertawa. ‘Umar hairan dan
bertanya: “Mengapa kamu tertawa wahai Rasul?” Rasul menjawab: “Saya
hairan dengan wanita-wanita itu, ketika mereka mendengar suaramu, mereka
bergegas-gegas lari dan bersembunyi di balik tirai.”
‘Umar berkata: “Sebenarnya engkau lebih berhak untuk ditakuti wahai
Rasul?” Kemudian ‘Umar mendekati wanita Quraisy itu dan berkata kepada
mereka: “Wahai wanita-wanita yang menjadi musuh nafsunya masing-masing,
mengapa kalian takut kepadaku dan tidak takut kepada Rasulullah s.a.w.”
Mereka menjawab: “Betul. Kamu lebih keras dan kasar daripada Rasulullah
s.a.w.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata kepada Umar:
“Wahai Umar Ibn al-Khttab. Demi Zat yang diriku berada dalam
kekuasaan-Nya. Setiap waktu syaitan melihatmu sedang melalui suatu jalan
maka ia akan lewat jalan lain selain jalan yang kamu lewati.”
Sebenarnya, kasih sayang Rasulullah terangkum dalam banyak riwayat.
Namun di sini kita hanya menyampaikan sebahagiannya sahaja, supaya kita
dapat menyaksikan lebih dekat bagaimana Rasulullah s.a.w. mencurahkan
rasa kasih sayangnya dan supaya kisah-kisah itu dapat menjadi teladan
bagi kita.
Pada suatu hari ada seorang pemuda datang menghadap Rasul untuk
memohon kepadanya supaya diizinkan ikut berjihad. Rasul bertanya kepada
pemuda itu: “Apakah kamu mempunyai ibu?” Dia menjawab: “Ya, saya masih
mempunyai ibu.” Kemudian Rasul berpesan kepadanya: “Jagalah ibumu
sahaja. Kerana sesungguhnya surga berada di bawah kedua telapak
kakinya.”
Pada suatu kesempatan, Rasul mendapatkan tawanan perang. Melihat hal
itu, Fatimah (puteri Rasul) mengeluh kepada ayahnya berkaitan dengan
kerja rumah yang sangat berat. Dia meminta ayahnya supaya mengangkat
tawanan itu sebagai pembantu rumah sehingga kerja rumah dapat lebih
ringan. Namun Rasulullah s.a.w. menolak dan memintanya untuk
memperbanyak membaca tasbih, takbir dan tahmid. Rasul kemudian berkata
kepadanya: “Saya tidak memberimu pembantu. Apakah saya akan membiarkan
Ahl al-Suffah kelaparan, di saat aku tidak mempunyai harta untuk
memberi nafkah kepada mereka. Saya akan menjual tawanan itu dan hasilnya
akan saya gunakan untuk memberi nafkah kepada Ahl al-Suffah.”
Dalam kisah di atas, kita melihat bagaimana Rasulullah s.a.w.
mengasihi orang-orang Muhajirin dan Ansar yang sibuk beribadah kepada
Allah dan berkumpul di salah satu bilik masjid Madinah. Mereka adalah
orang-orang fakir yang jumlahnya sekitar empat ratus orang. Mereka
selalu turut serta dalam setiap pasukan yang diutus Rasul untuk
melaksanakan satu tugas tertentu.
Rasulullah s.a.w. lebih mengutamakan mereka daripada puteri
kesayangannya sendiri. Padahal Fatimah adalah permata dan buah hati
Beliau. Meskipun demikian Beliau tetap tidak mau memenuhi permintaan
puterinya supaya tawanan tersebut dijadikan pembantu rumah yang akan
meringangkan kerja rumahnya. Beliau bahkan menegaskan bahawa menjual
satu tawanan yang wangnya digunakan untuk membiayai kehidupan Ahl
al-Suffah jauh lebih baik daripada tawanan itu diberikan kepada
Fatimah untuk menjadi pembantu rumah tangga. Dan Beliau menyuruh
puterinya itu, untuk memperbanyak membaca takbir, tasbih dan tahmid
supaya diberi kekuatan untuk menyelesaikan kerja rumah dengan baik.
Pada suatu hari ada seseorang datang menghadap Rasul, ingin
menyampaikan keinginannya untuk ikut berhijrah bersama Beliau. Orang itu
berkata: “Wahai Rasul, saya datang ke sini setelah membuat kedua orang
tuaku menangis.” Rasul pun berkata kepada orang tersebut: “Kembalilah
kepada kedua orang tuamu, dan buatlah mereka tersenyum sebagaimana kamu
telah membuat mereka menangis.” (H. R. Ahmad).
Dalam hadith ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan betapa besarnya
penghargaan Islam terhadap kedua orang tua, sehingga mereka harus
diutamakan dalam segala hal termasuk dalam hal mendapatkan perhatian dan
kasih sayang. Dalam hadith tersebut Rasulullah s.a.w. tidak mau memberi
izin kepada orang yang hendak berjihad fi
sabīlillah sebelum mereka mendapatkan restu dari kedua orang tuanya.
Ini kerana jihad yang dimaksudkan dalam hadith di atas adalah jihad yang
hukumnya fardu kifāyah, namun apabila jihad tersebut untuk mempertahan
keberadaan dan langgengnya ajaran Islam maka hukumnya fardu ‘ain dan
wajib bagi setiap Muslim untuk melakukannya dan tidak perlu restu dari
kedua orang tua. Rasulullah s.a.w. tidak mau membaiah seorang yang ingin
hijrah bersamanya, kerana orang tersebut tidak mendapat restu dari
kedua orang tuanya sehingga keduanya menangis. Bahkan Rasul
memerintahkan orang itu untuk kembali bertemu kedua orang tuanya dan
menyuruhnya untuk membuat kedua orang tua kembali tersenyum.
Dalam hal ibadah, Rasul juga menganjurkan umatnya untuk melaksanakan
dengan penuh ketenangan, kelembutan dan kasih sayang. Dalam sebuah
hadith disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya ketika aku sedang salat, aku ingin berlama-lama
(menikmati salatku). Namun saya mendengar ada anak kecil yang menangis,
sehingga saya berubah fikiran untuk mempercepat salatku, kerana khawatir
ibunya merasa kerepotan.”
Pada masa Rasul ada seseorang yang sering terlambat melakukan salat
Subuh dengan berjamaah. Setelah Rasulullah s.a.w. mencari keterangan,
orang tersebut mengeluh kerana imam salatnya terlalu lama dalam memimpin
berjamaah. Rasulullah s.a.w. pun marah dan berkata: “Sungguh di antara
kalian ada orang yang membuat orang lain tidak senang. Siapapun di
antara kalian yang memimpin salat berjamaah hendaknya meringankan
salatnya (jangan lama-lama) kerana di antara orang yang berjamaah
terdapat orang yang lemah, orang tua dan orang yang mempunyai
keperluan.” [6]
Banyak contoh lain yang menunjukkan kasih sayang Rasulullah s.a.w.,
terutama terhadap para sahabat wanita. Berikut ini akan diuraikan kisah
Rasul s.a.w. dengan Umm Salim dan kisah lain antara Beliau dengan
Barakah binti Tha‘labah (Umm Aimān) yang pernah merawat Beliau pada
waktu kecil.
Barakah binti Tha‘labah (Umm Aimān) adalah hamba sahaya milik
‘Abdullāh bin ‘Abd al-Muttalib, ayah Rasulullah s.a.w.. Ada juga
riwayat yang menyatakan bahawa Umm Aimān adalah hamba sahaya milik ibu
Rasulullah, Aminah binti Wahab. Pada waktu Aminah melakukan perjalanan
sehingga dia meninggal dunia di daerah Abwā’, Umm Aimān turut bersamanya
dan pada waktu itu Muhammad masih kecil, umurnya belum melewati enam
tahun. Selanjutnya Muhammad diasuh oleh Umm Aimān ini.
Kisah selanjutnya, Rasulullah s.a.w. membebaskan Umm Aimān daripada
perbudakan. Setelah merdeka ia ditunang oleh ‘Abīd al-Habsyī. Dari
perkahwinannya ini, ia dikaruniai seorang anak dan diberi nama Aimān.
Setelah ‘Abīd meninggal dunia, Umm Aimān berkahwin dengan Zaid bin
Hārithah dan dikaruniakan seorang anak yang diberi nama Usāmah.
Rasulullah s.a.w. sering mengunjungi Umm Aimān, begitu juga Abū Bakar
dan ‘Umar. Rasulullah s.a.w. pernah berkata: “Umm Aimān adalah ibuku
(kedua) setelah ibuku (yang pertama).” [7]
Ketika suami pertamanya, ‘Abīd meninggal dunia, Rasulullah berkata di
hadapan para sahabatnya: “Siapa yang ingin berkahwin dengan wanita
penduduk surga?” Waktu itu Zaid bin Hārithah memenuhi anjuran Rasul itu,
dan akhirnya dia berkahwin dengan Umm Aimān.
Adapun Umm Salim r.a. adalah seorang wanita Madinah yang rumahnya
sering dikunjungi oleh Rasulullah s.a.w.. Pada suatu kesempatan
Rasulullah s.a.w. ditanya oleh salah seorang sahabat: “Mengapa kamu suka
mendatangi rumah Umm Salim?” Rasul menjawab: “Saya kasihan kepadanya.
Saudaranya meninggal ketika membelaku.”
Umm Salim adalah bibi sesusuan Rasulullah s.a.w.. Ada juga yang
meriwayatkan bahawa Umm Salim adalah bibi nasab Rasulullah s.a.w..
Saudaranya yang disebut dalam hadith di atas bernama Harām bin Malhan,
saudaranya ini terbunuh ketika terjadi perang di sumur Ma‘ūnah. Pada
perang tersebut Rasulullah s.a.w. tidak turut serta, Beliau hanya
mengutus pasukan dan di antaranya adalah Harām bin Malhan ini.
Rasulullah s.a.w. memang mempunyai sifat kasih sayang, namun hal ini
sama sekali tidak menghalanginya untuk menegakkan hukum Allah s.w.t.
‘Abdullāh Ibn Mas‘ūd r.a. berkata: “Saya masih ingat orang pertama yang
tangannya dipotong oleh nabi Muhammad s.a.w.: Suatu hari ada seorang
pencuri yang dihadapkan kepada Rasul, dan Beliau memutuskan hukuman
potong tangan kepadanya. Namun wajah Beliau nampak berubah (seakan-akan
tidak senang hal ini terjadi).”
Para sahabat berkata kepada Nabi: “Ya Rasulullah. Kelihatannya kamu
kurang berkenan memotong tangannya.” Rasul menjawab, “Apa yang
menghalangiku (melaksanakan hukuman itu). Janganlah kalian membantu
syaitan mencelakakan saudaramu.” Para sahabat berkata, “Lebih baik kamu
memaafkannya, wahai Rasul?” Rasul pun menjawab: “Jika hukuman had sudah
diputuskan di hadapan sultan (penguasa) maka harus dilaksanakan. (Allah
lah yang akan mengampuninya) Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan suka
terhadap pengampunan.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. membacakan firman Allah s.w.t.: “Dan
hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin
Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang.” (al-Nūr, 24: 22).
Kasih sayang Rasulullah s.w.t. tidak hanya terbatas untuk kalangan
umat Islam atau saudara mara sahaja. Orang-orang musyrik juga dikasihi
oleh Rasulullah s.a.w.. Pada waktu perang Badar, sebelum pertempuran
berkecamuk, Rasulullah s.a.w. berkata:
“Saya mengetahui bahawa orang-orang Banī Hāsyim dan beberapa yang
lainnya ikut perang kerana terpaksa. Mereka sebenarnya tidak ingin
memerangi kita. Sesiapa (dalam pertempuran nanti) ada di antara kalian
yang bertemu dengan salah seorang dari Banī Hāsyim, janganlah ia
dibunuh. Sesiapa ada di antara kalian yang bertemu dengan Abū al-Bahtarī
bin Hisyām bin al-Hārith bin Asad, janganlah ia dibunuh. Sesiapa ada di
antara kalian yang bertemu dengan al-‘Abbās bin ‘Abd al-Muttalib,
janganlah ia dibunuh. Mereka semua ikut perang kerana terpaksa.”
Dalam kitab al-Sīrah al-Nabawiyyah, Ibn Hisyām meriwayatkan sebuah
hadith dari Ibn Ishāq yang berisikan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang
sahabat-sahabatnya membunuh Abū al-Bahtarī al-‘Ās bin Hisyām kerana dia
tidak pernah menyakiti Rasulullah s.a.w. pada waktu di Makkah. Selain
itu, dia juga orang yang berani melanggar perjanjian embargo yang
disepakati kafir Quraisy untuk melemahkan kaum Muslimin.
Salah satu bentuk kasih sayang Rasul terhadap orang-orang musyrik
adalah sebagaimana yang terdapat dalam kisah berikut ini. Setelah
pemimpin suku Yamāmah, Thamāmah bin Athal masuk Islam, dia bersumpah
tidak akan mengirim penghasilan gandum kepada penduduk kafir Quraisy,
sehingga mereka (kafir Quraisy) meminta izin dahulu kepada Rasulullah
s.a.w.. Setelah Thamāmah sampai di kampung Yamāmah, dia memerintahkan
kepada penduduk untuk tidak mengirim penghasilan gandum ke orang-orang
Quraisy. Orang-orang Quraisy pun mengeluh dan mengadukan hal ini kepada
Rasulullah s.a.w.. Mereka berkata: “Wahai Muhammad, sesungguhnya kamu
adalah orang yang sukakan memerintah orang lain supaya menyambung tali
silaturrahim.” Setelah itu, Nabi mengirim surat kepada Thamāmah supaya
dia mau mengagihkan penghasilan gandumnya kepada penduduk Makkah. [8]
Sebenarnya kalau Rasul menghendaki, Beliau dapat membalas perlakuan
kafir Quraisy terhadap Rasulullah pada waktu di Makkah, iaitu ketika
mereka mengembargo umat Islam dan mengurung mereka di tempat yang
bernama Syi‘b Abī Tālib. Keputusan Thamāmah bin Athal untuk tidak
mengirimkan gandum Yamāmah kepada mereka tidak mendapatkan persetujuan
Rasul. Ini menunjukkan bahawa rasa kasih sayang Beliau juga dicurahkan
kepada orang-orang musyrik meskipun sebelumnya mereka telah menyakiti
Rasul.
Rasulullah dapat sahaja membuat mereka kelaparan dan mengembargo
mereka. Namun kasih sayang Rasul mengalahkan rasa permusuhan dan
kemarahan yang ada. Kasih sayang Rasul menolak untuk melakukan balas
dendam. Begitu Rasul membaca surat keluhan dari kafir Quraisy, Beliau
langsung mengutus seseorang kepada Thmāmah untuk mengehentikan embargo
gandumnya, padahal Rasul faham apabila embargo itu diteruskan maka
kekuatan kafir Quraisy akan melemah dan mereka tidak mempunyai kemampuan
untuk mengganggu dan menyerang umat Islam.
Dalam kejadian pembebasan kota Makkah, rasa kasih sayang Rasul nampak
jelas sekali. Setelah Rasul berhasil menaklukkan kota Makkah, Abū
Sufyān bin al-Hārith bin ‘Abd al-Muttalib dan ‘Abdullāh bin Abī
Umayyah bin al-Mughīrah menemuinya dan meminta izin untuk ikut masuk
kota Makkah. Melihat hal itu Umm Salamah berkata kepada Rasul: “Wahai
Rasul. Mereka adalah putera pamanmu dan putera bibimu, mereka adalah
saudara maramu.”
Rasul s.a.w. menjawab: “Saya tidak perlukan mereka berdua. Putera
pamanku telah merendahkan kehormatanku dan putera bibiku telah
mengatakan kata-kata (yang tidak sopan) pada waktu di Makkah.”
Setelah mereka berdua mengetahui sikap Rasul seperti itu, Abū Sufyān
membawa serta anak kecilnya dan berkata: “Demi Tuhan. Kamu mengizinkanku
masuk ke Makkah atau saya bawa anakku ini bersamaku dan kami pergi
entah ke mana sehingga kami mati kehausan dan kelaparan.”
Begitu Rasulullah mendengar ucapan Abū Sufyān itu, Beliau menaruh
belas kasihan kepada mereka, kemudian Beliau mengizinkan mereka masuk
kota Makkah dan akhirnya mereka masuk Islam. [9]
Ketika Rasulullah s.a.w. bersama rombongan meninggalkan Banī Thaqīf,
ada sebahagian sahabat meminta Rasulullah supaya berdoa untuk kehancuran
Banī Thaqīf. Namun Rasulullah menolak bahkan Beliau berdoa: “Ya Allah
berilah petunjuk kepada Banī Thaqīf dan anugerahkan kepada mereka.” [10]
Suhail bin ‘Amr adalah salah seorang yang menyebarkan propaganda
kepada masyarakat untuk membenci dan memusuhi Rasulullah. Suatu hari
‘Umar bin al-Khattab r.a. bekata: “Wahai Rasul. Izinkan saya
mencongkel giginya dan memotong lidahnya, supaya dia tidak dapat
berpidato lagi.” Rasul menjawab: “Saya tidak ingin menyiksa tubuhnya,
nanti saya mendapat hukuman yang setimpal dari Allah. Jika besok ada
yang mengaku menjadi Nabi, maka semoga dia akan mengambil peranan yang
tidak mengecewakanmu.” [11]
Apa yang dikatakan Rasul, benar-benar terjadi. Setelah Rasulullah
s.a.w. meninggal dunia, banyak penduduk Makkah yang hendak murtad
(keluar daripada Islam). Dalam keadaan seperti ini Suhail bin ‘Amr,
berpidato di hadapan orang ramai, mengingatkan mereka untuk kembali
kepada kebesaran Islam, sehingga akhirnya mereka mau kembali masuk Islam
dan mengurungkan keinginan untuk murtad.
Pada perang Badar, para tawanan perang juga merasakan kasih sayang
Rasul mulia ini. Rasulullah s.a.w. berpesan kepada para sahabat:
“Perlakukanlah tawanan perang dengan baik.” [12]
Ada seorang tawanan yang bercerita bahawa ketika ia dibawa oleh
tuannya menuju Madinah dan di saat sampai waktunya untuk makan, ia
diberi roti sedangkan tuannya makan kurma. Hal ini kerana mereka
melaksanakan nasihat Rasul s.a.w. supaya memperlakukan tawanan dengan
baik.
Setelah perang Badar, Rasulullah s.a.w. berkata kepada para
sahabatnya, “Sesungguhnya saya mengetahui bahawa di antara orang-orang
Quraisy ada yang ikut perang kerana terpaksa. Sebenarnya mereka tidak
ingin memerangi kita. Oleh sebab itu, sesiapa di antara kalian ada yang
menemui mereka, janganlah membunuhnya.”
Selepas perang Badar, Rasulullah s.a.w. memutuskan untuk membebaskan
para tawanan perang kafir Quraisy dengan syarat mereka membayar tebusan
sebesar seribu dirham sehingga empat ribu dirham. Meskipun demikian
Rasul memberi keringan kepada orang-orang fakir seperti Abū ‘Izzah bin
‘Abdullāh yang hidupnya papa dan menanggung ramai anak perempuan.
Setelah Abū ‘Izzah minta keringanan kerana keadaannya yang fakir,
Rasulullah s.a.w. membebaskanya dengan tanpa memabayar tebusan
sedikitpun.
Begitu juga, Rasulullah s.a.w. menetapkan bahawa tiap tawanan perang
yang dapat membaca dan menulis apabila mau mengajarkan kepandaiannya itu
kepada sepuluh orang anak-anak Madinah, maka ia akan dibebaskan. [13]
Para musuh yang menentangnya dan merendahkan agamanya juga tetap
mendapatkan kasih sayanganya. Suatu hari seorang tawanan perang wanita
menghadap Rasul. Rasul pun bertanya kepadanya: “Siapakah kamu?” Wanita
itu menjawab: “Saya puteri Hātim al-Jawwād (orang terhormat di kalangan
kaum Quraisy).” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata kepada para sahabat:
“Kasihanilah orang mulia yang menjadi hina di tengah-tengah suatu kaum.
Dan kasihanilah orang pandai yang ‘tenggelam’ di antara orang-orang yang
bodoh.”
Asmā’ binti Abū Bakar r.a. berkata: “Suatu hari ibuku yang masih
musyrikah (yang sudah ditalak oleh Abū Bakar pada masa Jahiliyah) datang
kepadaku dengan membawa hadiah minyak samin, anggur dan keju. Saya
melarangnya memasuki rumahku dan saya menolak hadiahnya. Kemudian saya
mengirim utusan untuk menemui saudariku, ‘Ā’isyah supaya dia menanyakan
masalah ini kepada Rasulullah s.a.w..
Setelah masalah ini disampaikan kepada Rasul, Rasul menjawab:
“Hendaknya ia mempersilahkan ibunya masuk rumah dan menerima
hadianhnya.” kemudian Allah s.w.t. menurunkan rangakian ayat berikut
ini: “Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil
terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak
(pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukakan
orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu
menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama
dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk
mengusirmu. Dan sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka
itulah orang-orang yang zalim.” (al-Mumtahanah, 60: 8-9)
Dari kisah ini kita mengetahui bahawa Islam menekankan sikap kasih
sayang kepada kedua orang tua, ayah dan ibu. Rasulullah s.a.w. tidak
menginginkan seorang ibu (meskipun masih musyrikah) terhalangi untuk
mendapatkan kasih sayang anaknya yang sudah beriman. Sebagaimana
Rasulullah s.a.w. melarang berjihad orang yang tidak mendapat restu dari
orang tuanya. Hal ini menunjukkan betapa besar perhatian dan
penghormatan Islam terhadap orang tua.
Pada kejadian perang Shiffīn, sebahagian kaum Muslimin menawan dan
membawa al-Syaimā’ binti al Hārith Ibn ‘Abd al-‘Uzzā kepada baginda
Rasulullah s.a.w.. Ia adalah saudara perempuan sesusuan Rasulullah
s.a.w. Mereka membawa dan menggiringnya dengan kasar, kemudian ia
berkata kepada mereka: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya saya adalah
saudara perempuan sesusuan kawan kalian (maksudnya Rasulullah s.a.w.).”
Namun mereka tidak mempercayakannya sampai mereka membawa ke hadapan
baginda Rasulullah s.a.w., dan al-Syaimā’ berkata kepada beliau: “Wahai
Rasulullah, sesungguhnya saya adalah saudara perempuan sesusuan anda.”
Beliau berkata: “Apa buktinya?” Ia berkata: “Gigitanmu pada punggung
saya.” Kemudian beliau mengetahui alamat atau pertanda yang membuktikan
kebenaran pengakuan al-Syaimā’ tersebut dan beliau pun lantas
membentangkan rida’ beliau dan mendudukkan al-Syaimā’ di atasnya.
Kemudian beliau memberi pilihan seperti berikut:
ﺇِﻥْ ﺃَﺣْﺒَﺒْﺖِ ﺃَﻗَﻤْﺖِ ﻋِﻨْﺪِﻱ ﻣُﺤَﺒَّﺒَﺔً ﻭَﻣُﻜّﺮَّﻣَﺔً , ﻭَﺇِﻥْ
ﺃَﺣْﺒَﺒْﺖِ ﺃَﻥْ ﺃُﻣَﺘِّﻌَﻚِ ﻭَﺗَﺮْﺟِﻌِﻲ ﺇِﻟَﻰ ﻗَﻮْﻣِﻚِ ﻓَﻌَﻠْﺖُ
Maksudnya: “Jika kamu ingin, maka kamu boleh tinggal bersamaku dalam
keadaan disenangi dan dimuliakan, namun jika kamu ingin agar aku
memberikan kamu kompensasi dan kamu ingin kembali kepada kaummu, maka
akan saya penuhi.”
Kemudian al-Syaimā’ berkata: “Saya memilih pilihan yang kedua, iaitu
anda memberikan kompensasi (hadiah) kepada saya dan mengembalikan saya
kepada kaumku.’ Maka Rasulullah s.a.w. mengembalikan al-Syaimā’ kepada
kaumnya dan memberinya tiga budak lelaki dan seorang budak perempuan.
Ketika al-Syaimā’ telah kembali kepada keluarganya, maka para
perempuan menceritakan kepadanya tentang nasib seseorang yang bernama
Bijād (ia adalah dari kelompok banī Sa‘d, ia pernah melakukan sebuah
kejahatan yang sangat kejam, biadab dan tidak manusiawi. Iaitu pernah
ada seorang Muslim yang datang kepadanya, lalu ia menangkapnya,
memotong-motong tubuhnya kemudian membakarnya. Ketika terjadi perang
Hunain, Bijād melarikan diri, namun kaum Muslimin berhasil
menangkapnya).
Mendengar cerita para perempuan tersebut, al-Syaimā’ langsung kembali
menemui baginda Rasulullah s.a.w. untuk meminta kepada beliau agar sudi
menyerahkan Bijād kepadanya dan membebaskannya. Kemudian Beliau
memenuhi permintaan al-Syaimā’ tersebut, dan tidak hanya itu Beliau juga
masih memberi al-Syaimā’ hadiah lagi berupa satu atau dua unta dan
menanyakan siapa sahaja di antara saudara maranya yang masih tertawan.
Kemudian al-Syaimā’ menemui Beliau kembali dan Beliau memberi hadiah
lagi kepadanya dan kepada saudara maranya yang masih tertawan dengan
hadiah beberapa unta dan kambing. [14]
Jika Rasulullah s.a.w. diminta untuk berdoa yang tidak baik untuk
seseorang, baik orang Muslim maupun kafir, maka beliau justeru melakukan
sebaliknya, iaitu mendoakan dengan baik bagi seseorang tersebut.
Diriwayatkan bahawa ketika beliau memerangi para musuh, maka para
sahabat berkata kepada beliau:
“Seandainya anda melaknati mereka wahai Rasulullah,” kemudian Beliau bersabda:
ﺇِﻧِّﻲ ﻟَﻢْ ﺃُﺑْﻌَﺚْ ﻟَﻌَّﺎﻧًﺎ ﻭَﺇِﻧَّﻤَﺎ ﺑُﻌِﺜْﺖُ ﺭَﺣْﻤَﺔً
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak diutus agar menjadi orang yang
sukakan melaknat, akan tetapi aku diutus sebagi rahmat.” Diriwayatkan:
ﻗِﻴْﻞَ ﻟَﻪُ ﺑَﺎ ﺭَﺳُﻮﻝَ ﺍﻟﻠﻪِ ﺇِﻥَّ ﺩَﻭْﺳًﺎ ﻋَﺼَﺖْ ﻭَﺃَﺑَﺖْ ﻓَﺎﺩْﻉُ
ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻋَﻠَﻴْﻬِﻢْ ﻓَﻘَﺎﻝَ ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺍﻫْﺪِ ﺩَﻭْﺳًﺎ ﻭَﺃْﺕِ ﺑِﻬِﻢْ
Maksudnya: “Dikatakan kepada beliau: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya
kelompok Daus membangkang dan tidak mau menerima (dakwah), maka oleh
kerana itu, doakan tidak baik bagi mereka’. kemudian beliau berdoa: ‘Ya
Allah, berilah petunjuk kepada Daus dan datangkanlah mereka’.”
Rasulullah s.a.w. juga tidak pernah memukul seseorang dengan tangan
beliau, kecuali jika sedang berada di dalam jihad di jalan Allah s.w.t..
Beliau tidak diberi pilihan kecuali beliau akan memilih yang paling
mudah di antara pilihan-pilihan yang ada, selama hal itu tidak termasuk
kategori dosa atau yang dapat memutuskan tali persaudaraan. [15]
Rasulullah s.a.w. merupakan sosok yang terkenal sangat sayangkan dan
bersikap lembut terhadap budak-budak kecil. Beliau selalu mengajak
mereka bermain, bercanda dan mendudukkan mereka di atas pangkuan Beliau.
Diriwayatkan bahawa suatu ketika Beliau mengajak bermain ‘Abdullāh,
‘Ubaidillāh dan anak-anak paman Beliau yang lain. Beliau membariskan
mereka dan berkata: “Sesiapa yang dapat sampai kepadaku paling cepat,
maka baginya sebuah hadiah.” Kemudian mereka pun berlari menuju
kepadanya dan duduk di atas dada beliau, dan Beliau mencium mereka serta
berada bersama mereka. [16]
Ketika Ja‘far bin Abū Tālib mendapatkan syahīd pada perang Mu‘tah,
Rasulullah s.a.w. sangat bersedih. Kemudian Beliau bergegas pergi menuju
rumah Ja‘far dan menemui isterinya, Asmā’ binti ‘Umais. Pada saat itu
beliau melihat Asmā’ telah selesai membuat adonan roti, memandikan
anak-anaknya, membersihkkan dan memberinya minyak. Kemudian beliau
berkata kepada Asmā’: “Datanglah kamu kepadaku bersama anak-anak
Ja‘far.”
Ketika Asmā’ datang kepada Beliau sambil membawa anak-anaknya, maka
beliau langsung mencium mereka dengan kedua mata yang basah dengan air
mata. Lalu Asmā’ berkata kepada Beliau: “Sungguh, apa sebenarnya yang
membuat anda menangis? Apakah telah sampai kepada anda suatu berita
tentang Ja‘far dan kawan-kawannya? Beliau berkata: “Benar, mereka telah
terbunuh pada hari ini.” Air mata pun jatuh berlinangan dari kedua mata
Beliau. Mendengar berita tersebut, Asmā’ langsung menjerit dan menangis,
kemudian para kaum perempuan datang menemuinya. Beliau keluar menemui
para saudara mara Beliau dan berkata:
ﻟَﺎ ﺗَﻐْﻔُﻠُﻮﺍ ﺁﻝَ ﺟَﻌْﻔَﺮٍ ﻭَﺍﺻْﻨَﻌُﻮﺍ ﻟَﻬُﻢْ ﻃَﻌَﺎﻣًﺎ ﻓَﺈِﻧَّﻬُﻢْ ﻗَﺪْ ﺷُﻐِﻠُﻮﺍ ﺑِﺄَﻣْﺮِ ﺻَﺎﺣِﺒِﻬِﻢْ
Maksudnya: “Jangan sampai kalian lupa terhadap keluarga Ja‘far,
buatkan untuk mereka makanan, kerana mereka sedang disibukkan dengan
perkara pimpinan mereka (kematian Ja‘far).” [17]
Ketika Beliau melihat anak perempuan hamba sahaya Beliau yang bernama
Zaid bin Hārithah datang (Zaid adalah salah seorang yang mendapatkan
syahīd pada perang Mu‘tah bersama anak lelaki paman Beliau yang bernama
Ja‘far bin ‘Abī Tālib) maka Beliau menepuk pundaknya dan menangis. Para
sahabat pun hairan melihat baginda Rasulullah s.a.w. yang begitu
bersedih dan menangisi para tentara Islam yang syahīd pada perang
Mu‘tah. Beliau menjawab atas rasa hairan para sahabat dengan jawaban:
ﺇِﻥَّ ﻫَﺬِﻩِ ﻋَﺒَﺮَﺍﺕُ ﺍﻟﺼَّﺪِﻳْﻖِ ﻋَﻠَﻰ ﺻَﺪِﻳْﻘِﻪِ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﻓَﻘَﺪَﻩُ
Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah air mata kesedihan seseorang kerana kehilangan temannya.”
Diriwayatkan dari Umm Khalīd binti Sa‘īd al-Umawiyyah:
ﺃَﺗَﻴْﺖُ ﺭَﺳُﻮﻝَ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﻣَﻊَ ﺃَﺑِﻲ
ﻭَﻋَﻠَﻲَّ ﻗَﻤِﻴﺺٌ ﺃَﺻْﻔَﺮُ ﻗَﺎﻝَ ﺭَﺳُﻮﻝُ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠَّﻪُ
ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﺳَﻨَﻪْ ﺳَﻨَﻪْ ﻗَﺎﻝَ ﻋَﺒْﺪُ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻭَﻫِﻲَ
ﺑِﺎﻟْﺤَﺒَﺸِﻴَّﺔِ ﺣَﺴَﻨَﺔٌ ﻗَﺎﻟَﺖْ ﻓَﺬَﻫَﺒْﺖُ ﺃَﻟْﻌَﺐُ ﺑِﺨَﺎﺗَﻢِ
ﺍﻟﻨُّﺒُﻮَّﺓِ ﻓَﺰَﺑَﺮَﻧِﻲ ﺃَﺑِﻲ ﻗَﺎﻝَ ﺭَﺳُﻮﻝُ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠَّﻪُ
ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﺩَﻋْﻬَﺎ ﺛُﻢَّ ﻗَﺎﻝَ ﺭَﺳُﻮﻝُ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠَّﻪُ
ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﺃَﺑْﻠِﻲ ﻭَﺃَﺧْﻠِﻔِﻲ ﺛُﻢَّ ﺃَﺑْﻠِﻲ ﻭَﺃَﺧْﻠِﻔِﻲ ﺛُﻢَّ
ﺃَﺑْﻠِﻲ ﻭَﺃَﺧْﻠِﻔِﻲ
Maksudnya: “Pada suatu hari, saya diajak ayahku datang menemui
baginda Rasulullah s.a.w. dan pada waktu itu saya mengenakan pakaian
yang berwarna kuning. Kemudian Beliau berkata dengan bahasa kaum Habsyī:
‘Sanah sanah’. ‘Abdullāh berkata: ‘Ertinya adalah bagus’. Umm Khalīd
berkata: Setelah itu saya mendekat kepada baginda Rasulullah s.a.w. dan
mengajak Beliau bermain serta bercanda. Melihat hal tersebut ayahku
membentakku, namun Rasulullah s.a.w. berkata: ‘Biarkan sahaja’. Kemudian
Beliau berkata: ‘Pakailah pakaian ini sampai usang dan rosak, Pakailah
pakaian ini sampai usang dan rosak (maksudnya mendoakan umur panjang).”
[18]
Pada suatu ketika ada seorang bayi yang dibawa kepada baginda
Rasulullah s.a.w. untuk dimintakan doa keberkahan untuk si bayi dan
meminta beliau untuk memberinya nama. Lalu beliau pun mengambil bayi
tersebut dan meletakkan di atas pangkuan Beliau. Namun tiba-tiba bayi
tersebut kencing di atas pangkuan Beliau, kemudian orang-orang yang
melihat hal tersebut sepontan berteriak, Beliau berkata: “Jangan kalian
membuat si bayi menghentikan kencingnya sebelum selesai.” Beliau
membiarkan si bayi menyudahkan kencingnya, kemudian beliau mendoakan dan
memberi nama untuk si bayi, agar orang tua si bayi merasa senang. Hal
ini beliau lakukan untuk memberikan isyarat kepada orang tua bahawa
Beliau sebenarnya tidak merasa terganggu dengan hal tersebut. Kemudian
setelah mereka pergi, Beliau pun lantas mencuci baju yang terkena
kencing si bayi dengan kedua tangan Beliau yang mulia dan suci. [19]
Diriwayatkan bahawa ketika al-‘Aqrā’ bin Habis melihat Rasulullah
s.a.w. mencium cucu Beliau, Hasan bin ‘Alī bin Abū Tālib, maka ia terus
berkata: “Sesungguhnya saya memiliki sepuluh anak, namun saya tidak
pernah sekalipun mencium salah satu di antara mereka.” kemudian
Rasulullah s.a.w. bersabda:
ﺃَﻭَﺃَﻣْﻠِﻚُ ﻟَﻚَ ﺃَﻥْ ﻧَﺰَﻉَ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻣِﻦْ ﻗَﻠْﺒِﻚَ ﺍﻟﺮَّﺣْﻤَﺔَ ﻣَﻦْ ﻟَﺎ ﻳَﺮْﺣَﻢُ ﻟَﺎ ﻳُﺮْﺣَﻢُ
Maksudnya: “Aku tidak memiliki kuasa untuk menumbuhkan rasa kasih
sayang di hatimu setelah Allah s.w.t. mencabutnya dari hatimu, sesiapa
yang tidak menyayangi, maka ia juga tidak akan disayangi.”
Diriwayatkan bahawa pada suatu waktu Beliau salat sambil meletakkan
Umāmah binti Zainab, puteri beliau, di atas pundak. Beliau meletakkan
Umāmah ketika bersujud dan mengangkatnya lagi ketika berdiri.
Diriwayatkan bahawa suatu ketika baginda Rasulullah s.a.w. agak
memperpanjang sujudnya. Ada salah seorang sahabat bertanya: “Wahai
Rasulullah, sesungguhnya kamu telah memperpanjang sujud, sehingga kami
sempat menyangka bahawa telah terjadi sesuatu atau kamu baru menerima
wahyu.” Beliau berkata;
ﻛُﻞُّ ﺫَﻟِﻚَ ﻟَﻢْ ﻳَﻜُﻦْ ﻭَﻟَﻜِﻦَّ ﺍﺑْﻨِﻲ ﺍﺭْﺗَﺤَﻠَﻨِﻲ ﻓَﻜَﺮِﻫْﺖُ ﺃَﻥْ ﺃُﻋَﺠِّﻠَﻪُ ﺣَﺘَّﻰ ﻳَﻘْﻀِﻲَ ﺣَﺎﺟَﺘَﻪُ
Maksudnya: “Semua itu tidak terjadi, akan tetapi aku memperpanjang
sujud, kerana waktu itu anakku (maksudnya cucu beliau) sedang naik ke
atas punggunggku, dan aku tidak ingin mengganggunya sampai ia
mendapatkan apa yang diinginkan.”
Yang dimaksudkan dengan cucu Beliau dalam hadith di atas adalah Hasan atau Husain, anak ‘Alī bin Abū Tālib dan Fatimah r.a.
Diriwayatkan bahawa suatu ketika baginda Rasulullah s.a.w. melewati
di dekat rumah puteri Beliau, Fatimah r.a. Ketika itu Beliau mendengar
suara tangisan Husain. Kemudian beliau berkata kepada puterinya:
“Tidakkah kamu mengetahui bahawa tangisan Husain membuat hatiku merasa tidak tenang?”
Diriwayatkan bahawa pada suatu waktu ketika Beliau sedang berada di
atas mimbar, Beliau melihat cucunya yang bernama Hasan tergelincir.
Kemudian Beliau turun dari atas mimbar dan mengangkat Hasan, lalu Beliau
membaca firman Allah dalam surah al-Tanghābūn, 64: 15, yang ertinya:
“Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cobaan (bagimu).”
Diriwayatkan bahawa suatu ketika baginda Rasulullah s.a.w. mengutus
Anas bin Mālik untuk suatu keperluan. Namun Anas tidak langsung
melakukan apa yang telah diperintahkan kepadanya, Nabi mencarinya dan
menemukan ia berada di antara sekelompok anak muda yang sedang bermain.
Kemudian Beliau berkata kepadanya: “Wahai Unais, bergegaslah pergi untuk
keperluan yang telah aku katakan kepadamu.” [20]
Begitulah, bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. memiliki rasa kasih
sayang yang tinggi bahkan terhadap para hamba sahaya dan pembantu.
Diriwayatkan bahawa suatu ketika beliau mengutus Wasifah untuk
melakukan suatu pekerjaan, namun ia tidak segera melakukannya, kemudian
beliau berkata:
“Seandainya aku tidak takut balasan qisas, maka aku akan menghukummu dengan kayu siwak ini.”
Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau adalah rahmat yang dihadiahkan
kepada umat manusia. Apakah hanya dengan kayu siwak anda ingin
menghukum, dan apakah benar anda tidak berani melakuka kerana engkau
takut hukuman balasan? Salawat dan salam semoga selalu tercurahkan
kepadamu wahai Rasulullah s.a.w..
Diriwayatkan oleh Abū Dhar al-Ghifārī r.a.:
ﺳَﺎﺑَﺒْﺖُ ﺭَﺟُﻠًﺎ ﻓَﻌَﻴَّﺮْﺗُﻪُ ﺑِﺄُﻣِّﻪِ ﻓَﻘَﺎﻝَ ﻟِﻲ ﺍﻟﻨَّﺒِﻲُّ
ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﻳَﺎ ﺃَﺑَﺎ ﺫَﺭٍّ ﺃَﻋَﻴَّﺮْﺗَﻪُ
ﺑِﺄُﻣِّﻪِ ﺇِﻧَّﻚَ ﺍﻣْﺮُﺅٌ ﻓِﻴﻚَ ﺟَﺎﻫِﻠِﻴَّﺔٌ ﺇِﺧْﻮَﺍﻧُﻜُﻢْ ﺧَﻮَﻟُﻜُﻢْ
ﺟَﻌَﻠَﻬُﻢْ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﺗَﺤْﺖَ ﺃَﻳْﺪِﻳﻜُﻢْ ﻓَﻤَﻦْ ﻛَﺎﻥَ ﺃَﺧُﻮﻩُ ﺗَﺤْﺖَ ﻳَﺪِﻩِ
ﻓَﻠْﻴُﻄْﻌِﻤْﻪُ ﻣِﻤَّﺎ ﻳَﺄْﻛُﻞُ ﻭَﻟْﻴُﻠْﺒِﺴْﻪُ ﻣِﻤَّﺎ ﻳَﻠْﺒَﺲُ ﻭَﻟَﺎ
ﺗُﻜَﻠِّﻔُﻮﻫُﻢْ ﻣَﺎ ﻳَﻐْﻠِﺒُﻬُﻢْ ﻓَﺈِﻥْ ﻛَﻠَّﻔْﺘُﻤُﻮﻫُﻢْ ﻓَﺄَﻋِﻴﻨُﻮﻫُﻢْ
Maksudnya: “Suatu ketika, aku mencela dan mencaci seseorang, aku
mengejek dan mencemoohnya dengan menyebut kejelekan ibunya, kemudian
baginda Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku: ‘Wahai Abū Dhar, apakah kamu
mengejek dan mencemoohnya? Sungguh, di dalam diri kamu masih terdapat
ciri-ciri Jahiliah. Mereka, saudara-saudarmu adalah pembantumu dan
mereka merupakan sebuah pemberian dari Allah s.w.t. yang Dia jadikan
berada di bawah kekuasaanmu. Maka sesiapa yang memiliki saudara yang
berada dibawah kekuasaannya, maka hendaklah ia memberinya makan seperti
apa yang ia makan dan memberinya pakaian seperti yang ia pakai.
Janganlah kalian membebani mereka dengan hal-hal yang diluar kemampuan
mereka. Dan jika kalian memberikan beban suatu pekerjaan kepada mereka,
maka bantulah mereka di dalam menunaikan pekerjaan tersebut.”
Terdapat riwayat lain yang berbunyi:
ﺧَﺮَﺝَ ﺃَﺑَﻮ ﺫَﺭٍّ ﺍﻟْﻐِﻔَﺎﺭِﻱَّ ﺭَﺿِﻲَ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻋَﻨْﻪُ ﻭَﻋَﻠَﻴْﻪِ
ﺣُﻠَّﺔٌ ﻭَﻋَﻠَﻰ ﻏُﻠَﺎﻣِﻪِ ﺣُﻠَّﺔٌ ﻣﺜﻞ ﺣُﻠَّﺘِﻪِ ﻓَﺴُﺌِﻞَ ﻋَﻦْ ﺫَﻟِﻚَ
ﻓَﻘَﺎﻝَ , ﺳَﻤِﻌْﺖُ ﺭﺳﻮﻝَ ﺍﻟﻠﻪ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﻳَﻘُﻮْﻝُ
, ﻫُﻢْ ﺇِﺧْﻮَﺍﻧُﻜُﻢْ ﻭَﺧَﻮَﻟُﻜُﻢْ ﺟَﻌَﻠَﻬُﻢْ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﺗَﺤْﺖَ ﺃَﻳْﺪِﻳﻜُﻢْ
ﻓَﻤَﻦْ ﻛَﺎﻥَ ﺃَﺧُﻮﻩُ ﺗَﺤْﺖَ ﻳَﺪِﻩِ ﻓَﻠْﻴُﻄْﻌِﻤْﻪُ ﻣِﻤَّﺎ ﻳَﺄْﻛُﻞُ
ﻭَﻟْﻴُﻠْﺒِﺴْﻪُ ﻣِﻤَّﺎ ﻳَﻠْﺒَﺲُ ﻭَﻟَﺎ ﺗُﻜَﻠِّﻔُﻮﻫُﻢْ ﻣِﻦَ ﺍﻟْﻌَﻤَﻞِ ﻣَﺎ
ﻳَﻐْﻠِﺒُﻬُﻢْ ﻓَﺈِﻥْ ﻛَﻠَّﻔْﺘُﻤُﻮﻫُﻢْ ﻓَﺄَﻋِﻴﻨُﻮﻫُﻢْ
Maksudnya: “Suatu ketika Abū Dhar pergi keluar bersama dengan hamba
sahayanya, waktu itu hamba sahaya tersebut mengenakan pakaian yang sama
dengan pakaian yang dikenakan oleh Abū Dhar, kemudian ia ditanya tentang
hal tersebut. ia berkata: ‘Suatu ketika aku mencela dan mencaci
seseorang, kemudian ia mengadukan hal tersebut kepada Rasulullah s.a.w.
dan beliau berkata kepadaku: Wahai Abū Dhar, apakah kamu mengejek dan
mencemoohnya? Sungguh, di dalam diri kamu masih terdapat ciri-ciri
Jahiliah. Mereka, saudara-saudarmu adalah pembantumu dan mereka
merupakan sebuah pemberian dari Allah s.w.t. yang Dia jadikan berada di
bawah kekuasaanmu. Maka sesiapa yang memiliki saudara yang berada
dibawah kekuasaannya, maka hendaklah ia memberinya makan seperti apa
yang ia makan dan memberinya pakaian seperti yang ia pakai. Janganlah
kalian membebani mereka dengan hal-hal yang diluar kemampuan mereka. Dan
jika kalian memberikan beban suatu pekerjaan kepada mereka, maka
bantulah mereka di dalam menunaikan pekerjaan tersebut.”
Pada khutbah terkahir baginda Rasulullah s.a.w., Beliau memberikan sebuah wasiat tentang para pembantu dan para hamba sahaya:
ﻓَﻤَﺎ ﺃَﺣْﺒَﺒْﺘُﻢْ ﻓَﺄَﻣْﺴِﻜُﻮْﺍ ﻭَﻣَﺎ ﻛَﺮِﻫْﺘُﻢْ ﻓَﺒِﻴﻌُﻮﺍ ﻭَﻟَﺎ
ﺗُﻌَﺬِّﺑُﻮﺍ ﺧَﻠْﻖَ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻋَﺰَّ ﻭَﺟَﻞَّ ﻓَﺈِﻥَّ ﺍﻟﻠﻪَ ﻣَﻠَّﻜَﻜُﻢْ
ﺇِﻳَّﺎﻫُﻢْ ﻭَﻟَﻮْ ﺷَﺎﺀَ ﻟَﻤَﻠَّﻜَﻬُﻢْ ﺇِﻳَّﺎﻛُﻢْ
Maksudnya: “Di antara para hamba sahaya ada yang kalian senangi, maka
peganglah mereka, adapun di antara mereka yang tidak kalian senangi,
maka juallah. Janganlah kalian menyiksa makhluk Allah s.w.t. kerana
sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjadikan mereka sebagai milik kalian.
Seandainya Allah s.w.t. berkehendak, maka Dia akan menjadikan keadaan
berbalik, iaitu kalian menjadi milik mereka.” [21]
Bahkan rahmat dan kasih sayang baginda Rasulullah s.a.w. tidak hanya
terbatas pada manusia sahaja, akan tetapi mencakup pada haiwan. Sering
sekali beliau memberikan wasiat kepada para sahabat agar berlaku halus
dan lembut terhadap haiwan. Seperti sabda beliau:
ﻟَﻌَﻦَ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻣَﻦْ ﻣَﺜَّﻞَ ﺑِﺎﻟْﺤَﻴَﻮَﺍﻥِ
Maksudnya: “Allah s.w.t. melaknat orang yang menyiksa dan mengudung haiwan.” [22]
ﺃَﻣَﺎ ﺑَﻠَﻐَﻜُﻢْ ﺃَﻧِّﻲ ﻗَﺪْ ﻟَﻌَﻨْﺖُ ﻣَﻦْ ﻭَﺳَﻢَ ﺍﻟْﺒَﻬِﻴﻤَﺔَ ﻓِﻲ ﻭَﺟْﻬِﻬَﺎ ﺃَﻭْ ﺿَﺮَﺑَﻬَﺎ ﻓِﻲ ﻭَﺟْﻬِﻬَﺎ
Maksudnya: “Tidakkah telah sampai kepada kalian bahwasannya aku
melaknat orang yang memberi tanda dengan besi panas atau memukul pada
muka haiwan.” [23]
Rasulullah s.a.w. juga bersabda:
ﺇِﺫَﺍ ﺭَﻛِﺒْﺘُﻢْ ﻫَﺬِﻩِ ﺍﻟﺪَّﻭَﺍﺏَّ ﻓَﺄَﻋْﻄُﻮْﻫَﺎ ﺣَﻘَّﻬَﺎ ﻓِﻲ ﺍﻟْﻤَﻨَﺎﺯِﻝِ ﻭَﻟَﺎ ﺗَﻜُﻮْﻧُﻮْﺍ ﻋَﻠَﻴْﻬَﺎ ﺷَﻴَﺎﻃِﻴْﻦَ
Maksudnya: “Jika kalian menaiki haiwan-haiwan ini, maka berikanlah
haknya pada tempat-tempat istirahat, janganlah kalian seperti syaitan
atas haiwan-haiwan tersebut.” [24]
Rasulullah s.a.w. juga melarang untuk mengebiri unta dan haiwan-haiwan yang lain serta melarang mengadu haiwan. [25]
Rasulullah s.a.w. juga bersabda:
ﺍﺗَّﻘُﻮﺍ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻓِﻲ ﻫَﺬِﻩِ ﺍﻟْﺒَﻬَﺎﺋِﻢِ ﺍﻟْﻤُﻌْﺠَﻤَﺔِ ﻓَﺎﺭْﻛَﺒُﻮﻫَﺎ ﺻَﺎﻟِﺤَﺔً ﻭَﻛُﻠُﻮﻫَﺎ ﺻَﺎﻟِﺤَﺔً
Maksudnya: “Takutlah kalian kepada Allah s.w.t. dalam hal
haiwan-haiwan yang tidak mampu berbicara ini, naikilah tatkala dalam
keadaan baik dan sihat, makanlah dagingnya tatkala dalam keadaan sihat
dan gemuk.”
Rasulullah s.a.w. bersabda:
ﺩَﺧَﻠَﺖْ ﺍﻣْﺮَﺃَﺓٌ ﺍﻟﻨَّﺎﺭَ ﻓِﻲ ﻫِﺮَّﺓٍ ﺭَﺑَﻄَﺘْﻬَﺎ ﻓَﻠَﻢْ ﺗُﻄْﻌِﻤْﻬَﺎ ﻭَﻟَﻢْ ﺗَﺪَﻋْﻬَﺎ ﺗَﺄْﻛُﻞُ ﻣِﻦْ ﺧَﺸَﺎﺵِ ﺍﻟْﺄَﺭْﺽِ
Maksudnya: “Seorang perempuan masuk neraka kerana seekor kucing, ia
mengikat kucing tersebut, lalu ia tidak memberi makan dan tidak pula
membiarkannya memakan serangga dan haiwan yang merugikan.” [26]
Rasulullah s.a.w. bersabda:
ﻣَﺎ ﻣِﻦْ ﺇِﻧْﺴَﺎﻥٍ ﻗَﺘَﻞَ ﻋُﺼْﻔُﻮﺭًﺍ ﻓَﻤَﺎ ﻓَﻮْﻗَﻬَﺎ ﺑِﻐَﻴْﺮِ
ﺣَﻘِّﻬَﺎ ﺇِﻟَّﺎ ﺳَﺄَﻟَﻪُ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻋَﺰَّ ﻭَﺟَﻞَّ ﻋَﻨْﻬَﺎ ﻗِﻴﻞَ ﻳَﺎ ﺭَﺳُﻮﻝَ
ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻭَﻣَﺎ ﺣَﻘُّﻬَﺎ ﻗَﺎﻝَ ﻳَﺬْﺑَﺤُﻬَﺎ ﻓَﻴَﺄْﻛُﻠُﻬَﺎ ﻭَﻟَﺎ ﻳَﻘْﻄَﻊُ
ﺭَﺃْﺳَﻬَﺎ ﻳَﺮْﻣِﻲ ﺑِﻬَﺎ
Maksudnya: “Tiada seorang pun yang membunuh seekor burung atau seekor
haiwan yang nilainya lebih tinggi daripada burung, tanpa memperhatikan
hak-haknya kecuali Allah s.w.t. akan meminta peertanggung jawabannya
atas hal tersebut. lalu dikatakan kepada beiau, “Apakah hak-haknya
tersebut wahai Rasulullah?” Beliau berkata, “Hak-haknya adalah
menyembelihnya lalu memakannya, tidak boleh memotong kepalanya digunakan
untuk melempar.” [27]
Rahmat dan kasih sayang Beliau terhadap haiwan tidak hanya sebatas
pada ucapan sahaja, akan tetapi memang sudah menjadi akhlak mulia yang
selalu Beliau jaga. Bagaimana tidak, kerana Beliau (semoga salawat dan
salam selalu tercurahkan kepadanya) adalah panutan dan teladan bagi
sekalian alam.
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Beliau sedang memakan kurma basah
dengan menggunakan tangan kanan dan Beliau gunakan tangan kiri untuk
menyimpan biji-biji kurma. Kemudian ada seekor kambing yang lewat, dan
Beliau memberikan isyarat kepada kambing tersebut untuk memakan
biji-bijian yang berada di dalam genggaman tangan kirinya tersebut.
Nampaklah sebuah pemandangan, Beliau makan menggunakan tangan kanan dan
seekor kambing memakan biji-bijian kurma yang terdapat pada telapak
tangan kirinya, sehingga beliau selesai makan dan kambing pun pergi.
Baginda Rasulullah s.a.w. memakan daging burung yang berhasil
ditangkap, namun Beliau tidak ingin memburu dan menangkap burung
sendiri. Akan tetapi Beliau senang jika ada seseorang yang berburu
burung untuk beliau. Jika ada burung buruan yang dihadiahkan kepadanya,
maka akan Beliau makan. Namun jika tidak, maka Beliau tidak ingin
berburu dan menangkap burung.
Diriwayatkan bahawa pada suatu waktu Rasulullah s.a.w. keluar,
kemudian Beliau bertemu dengan Abū Bakar r.a dan ‘Umar r.a.. Beliau
bertanya kepada mereka berdua: “Apa yang membuat kalian berdua keluar
pada waktu ini?” mereka berdua menjawab:
“Yang membuat kami berdua keluar adalah rasa lapar.” Beliau berkata:
“Demi Zat Yang jiwaku berada di dalam genggamannya, aku juga keluar
kerana sesuatu yang membuat kalian berdua keluar (maksudnya rasa
lapar).”
Kemudian Beliau mengajak mereka berdua pergi ke rumah salah seorang
sahabat Ansar. Namun ternyata orang yang dituju sedang tiada di rumah.
Ketika isteri pemilik rumah melihat Rasulullah s.a.w. datang, ia berkata
kepada beliau: “Selamat datang.” Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya:
“Di mana si Fulan?” si isteri menjawab: “Pergi mengambil air minum untuk
kami.’
Tidak lama kemudian, orang yang dimaksudkan datang dan ia memandang
kepada Rasulullah s.a.w. dan kedua sahabat beliau seraya berkata:
“Alhamdulillah, hari ini tiada seseorang yang kedatangan tamu yang mulia
kecuali saya.” Kemudian ia mengajak Rasulullah s.a.w. dan kedua
sahabatnya menuju ke ladang miliknya. dan ia datang membawa setangkai
buah kurma, ada yang belum matang dan ada yang sudah matang. Ia berkata:
“Makanlah.” Kemudian ia mengambil sebuah pisau, Rasulullah s.a.w.
berkata kepadanya: “Janganlah kamu menyembelih haiwan yang mempunyai
banyak susu.” Setekah itu ia menyembelih seekor kambing dan mereka pun
memakan kambing tersebut dan juga setangkai buah kurma yang telah
diambil. [28] Rasulullah s.a.w. melarangnya menyembelih kambing yang
sedang banyak susu, kerana anak-anak kambing tersebut sangat memerlukan
air susu induknya.
Dalam kitab al-Maghāzī, al Waqidī berkata bahawa ketika Rasulullah
s.a.w. sedang dalam perjalanan dari Madinah menuju ke Makkah pada ‘Am
al-Fath (tahun penguasaan Makkah oleh kaum Muslimin), di jalan Beliau
melihat seekor anjing yang sedang menggonggong, sedangkan anak-anaknya
meminum susunya. Kemudian Beliau memerintahkan salah seorang sahabat
agar berdiri di dekat anjing tersebut dengan tujuan agar para tentera
tidak mengganggu anjing itu dan juga mereka terhindar dari ancaman
gigitan anjing. [29] Seandainya beliau tidak memiliki rasa belas kasihan
terhadap haiwan, maka beliau tidak akan sampai memiliki perhatian
seperti itu.
Pada suatu ketika Beliau sedang pergi bersama sebahagian sahabat,
mereka melihat seekor burung kecil yang memiliki dua anak. Mereka
mengambil kedua anak burung tersebut, induk anak burung tersebut pun
datang mengepak-ngepakkan kedua sayapnya. Ketika Rasulullah s.a.w.
melihat hal tersebut maka Beliau berkata: “Siapa yang telah mengambil
anak burung ini sehingga ia menjadi terganggu? Kembalikan anak burung
itu kepada induknya.” [30]
Ini adalah di antara rasa belas kasihan Rasulullah s.a.w.. Ia yang telah bersabda:
ﺇِﻥَّ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻳُﺤِﺐُّ ﺍﻟﺮِّﻓْﻖَ ﻓِﻲ ﺍﻟْﺄَﻣْﺮِ ﻛُﻠِّﻪِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t menyukakan kelembutan di dalam segala urusan.” [31]
——–
[1] H. R. al-Bukhārī.
[2] Al-Qain adalah sama ertinya dengan al-Haddād (Tukang besi). Nama aslinya adalah al-Barrā’ bin Aus al-Ansarī.
[3] H. R. al-Bukhārī.
[4] H. R. al-Bukhārī.
[5] H. R. al-Bukhārī.
[6] Lihat Fath al-Mubdī, (1/255).
[7] Zād al-Ma‘ād, (1/26).
[8] Sīrah Ibn Hisyām, (2/281).
[9] Al-Sīrah li Ibn Hisyām, (4/43).
[10] Al-Sīrah li Ibn Hisyām, (4/130).
[11] Tārīkh al-Tabarī, (2/289).
[12] Ibid,
[13] H. R. Ahmad, (1/247).
[14] Sīrah Ibn Hisyām, (4/100).
[15] Lihat al-Ihyā’, (2/321).
[16] Al-Sīrah al-Halabiyyah, (3/377).
[17] Al-Sīrah al-Halabiyyah, (3/377).
[18] Fath al-Mubdī, (2/322).[19] Ihyā’ Ulūm al-Dīn, (3/173).
[20] Sahīh Muslim, (15/71).
[21] Ihyā’ Ulūm al-Dīn, (2/195).
[22] Kanz al-Ummāl, (5/15).
[23] Ibid,
[24] Kanz al-Ummāl, (5/15).
[25] Ibid,
[26] Taisīr al-Wusūl, (2/52).
[27] Ibn Hazm dalam kitab al Muhallā, (7/295).
[28] Kanz al-Ummāl, (4/30).
[29] Al-Maghāzī karya al-Waqidī.
[30] Taisīr al-Wusūl, (2/52).
[31] Fath al-Mubdī, (3/305).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar